Tuesday, March 10, 2009

Teguran Penuh Berhemah Daripada Seorang Raja Melayu Hebat

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan bangsa Melayu mengenai usaha radikal daripada kalangan yang mahu mengubah resipi kekuatan mereka."Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu. "Betapa terancamnya survival bangsa apabila tradisi dan institusi sudah tidak dihormati lagi dan betapa malangnya generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan tradisi 'sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik'", titah baginda, lapor Bernama.

Raja Dr Nazrin bertitah demikian ketika melancarkan buku "The Malays" hasil kajian Prof. Anthony Milner, pensyarah sejarah Asia di Australian National University.Yang turut hadir pada majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabuddin dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Panglima Mohd Annuar Zaini. Raja Nazrin Shah bertitah bahawa resipi kekuatan bangsa Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan negara ialah klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja-raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.Baginda memberi takrif bangsa Melayu sebagai "diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa serta disalut dengan agama."Risipi kekuatan Melayu"Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah lagi bahawa survival orang Melayu sebagai satu bangsa bergantung kepada beberapa faktor yang telah selama ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya, termasuk budaya bernegara dan berkerajaan berpegang kepada prinsip rakyat beraja-negeri bersultan.Menurut baginda dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di persimpangan jalan iaitu menghadapi dua kemungkinan. Kemungkinan pertama ialah bangsa Melayu akan terus hidup berkembang dan kuat, serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global."Atau kemungkinan kedua, dijauhkan Illahi daripada berlaku, bahawa bangsa Melayu akan hanyut dalam glombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut. "Akhirnya Melayu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama dan ketika itu tidak akan ada lagi minat untuk dilakukan kajian sosio-politik dan sosio-ekonomi bangsa Melayu secara dinamik," titah baginda.

Untuk itu, Raja Nazrin Shah berharap bangsa Melayu mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kadok memiliki ayam sabung yang hebat lalu dipermainkan pihak lawan dan akhirnya Pak Kadok menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan, Pak Kadok sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah tergadai.

Baginda juga menghargai usaha Prof Milner yang mengiktiraf bahawa raja Melayu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu.Menurut Raja Nazrin Shah, usaha Milner itu sewajarnya diberi penghargaan oleh bangsa Melayu, dengan paling minimum, menjadikan buku "The Malays" sebagai teks yang wajib dirujuk oleh pelajar sosio-politik Melayu.

3 comments:

ONE said...

salam maulidur rasul

Panglima Perang Cyber said...

saya sudah add saudara dalam list bpn.

harap dapat ziarah sesama rakan rakan bpn di mana saja.

tq

Bani Tanjong said...

Salam Panglima Perang Cyber,
Terima kasih atas kesudian saudara add blog sy dalam blog saudara. Bersama mencipta kegemilangan alif, ba dan ta

salaam